Khamis, 29 Mei 2008

Komputer Riba Terbaru Keluaran Apple,

SEMEMANGNYA komputer riba terbaru keluaran Apple, Macbook Air ini tampak kecil, nipis dan ringan sekali gus meletakkan tanda aras sebagai rekaan revolusi terkecil dan ternipis dalam siri pembuatannya.

Justeru itu, Macbook Air yang hanya seberat 1.3 kilogram (kg) itu menjadikan ia sebagai antara komputer riba berskrin besar yang paling ringan di dunia.

Reka bentuk Macbook Air diserlahkan lagi dengan kehadiran casis berteraskan aluminium yang membuatkan ia tampak tegap selain didatangkan dengan ciri-ciri menarik dan terkini.

Tetapi apa yang lebih menarik, walaupun didatangkan dengan rekaan kompak, saiz papan kekunci masih dikekalkan pada saiz penuh bagi memudahkan pengendalian kepada pengguna.

Oleh yang demikian, pengguna tidak akan menghadapi masalah untuk menekan butang kekunci dan mengendalikan komputer tersebut.

Antara ciri menarik yang ditonjolkan oleh model berkenaan adalah dengan memperlihatkan keberkesanan penggunaan pada pad pengesannya.

Pad pengesan tersebut juga telah diselaraskan dengan ciri sentuhan sapuan, cubitan dan putaran unik sekali gus memudahkan pengguna untuk melakukan tugasan menerusi perisian yang tersedia.

Sebagai contoh, hanya dengan menggelongsor atau membuat teknik sapuan tiga batang jari ke atas pad pengesan tersebut, pengguna mampu menukar imej dan sebarang fail dengan pantas.

Sementara itu, para pengguna perlu membuat pergerakan jari seperti mencubit bagi membesarkan ataupun mengecilkan imej yang dipaparkan.

Secara tidak langsung, keupayaan teknologi pad pengesan tersebut memperlihatkan revolusi terhadap cara pengendalian komputer riba terkini.

Dari sudut prestasi, Macbook Air dipacu menggunakan cip pemproses Intel Core 2 serta dilengkapi dengan kemudahan memori 2Gb dan cakera keras terbina sebesar 1.8 inci bersaiz 80Gb.

Dalam pada itu, melalui AirPort Extreme pengguna mampu melayari Internet menerusi rangkaian sambungan WiFi 802.11n.

Dikatakan, kelajuan rangkaian WiFi tersebut merupakan terpantas dan menjanjikan prestasi lima kali ganda jika dibandingkan dengan rangkaian sambungan WiFi 802.11g yang biasa digunakan.

Dalam pada itu, rekaan unik model tersebut turut memperlihatkan skrin luas sebesar 13.3 inci yang dibina berteraskan teknologi paparan skrin LED.

Ia juga didatangkan dengan sensor cahaya ambien yang bertindak balas terhadap cahaya persekitaran secara automatik sekali gus menyesuaikan kadar cahaya pada papan kekunci dan skrin.

Memandangkan saiznya yang kecil dan nipis, Macbook Air hanya didatangi dengan satu slot USB sahaja bagi kemudahan sambungan dan kemudahan perkakas dipacu melalui sambungan tanpa wayar.

Kini Macbook Air boleh didapati di pasaran dan ditawarkan pada harga RM6,299.

Maklumat lengkap boleh didapati di www.apple.com.

Spesifikasi :-

Pemprosesan - 1.6GHz Intel Core 2 Duo

Memori - 2GB, 667MHz DDR2

Cakera keras - 80GB 4,200rpm

Grafik - Intel GMA X3100 (integrasi)

Sistem Operasi - Apple Mac OS X Leopard

Dimensi (WDH) 14.2 x 10.5 x 1.9 inci

Saiz skrin - (pepenjuru) 13.3 inci

sumber : utusan malaysia

Tiada ulasan: