Khamis, 6 Mac 2008

Nantikan Kemunculan USB 3.0

Jika kita sentuh sedikit mengenai sejarahnya, USB merupakan teknologi standard bas Serial untuk antaramuka peranti yang membenarkan perhubungan pada soket antaramuka tunggal. Ia turut dicipta untuk meningkatkan keupayaan Plug and Play dengan membenarkan peranti disambungkan (connect) dan merungkai sambungan (disconnect) tanpa perlu ‘reboot’ Hot Swapping pada komputer. Ia memberi cara mudah kerana pengguna tidak perlu lagi melalui beberapa protokol remeh untuk pemasangan dan perungkaian pada sistem komputer.

Satu lagi yang menjadi kelebihan teknologi USB ini ialah penggunaan kuasa rendah. Ia kerana sumber kuasa luaran dan pemacu peranti individu spesifik tidak diperlukan untuk menjalankan USB. Pengguna boleh terus menggunakan peranti yang disambung tanpa perlu ‘banyak soal’. Ia sesuai dengan konsep asal ciptaan USB iaitu untuk membantu perhubungan pelbagai peranti pada satu port mudah dan mengurangkan penggunaan wayar yang kadangkala berserabut dan boleh memeningkan kepala pengguna.

USB memungkinkan perhubungan peralatan komputer seperti tetikus, papan kekunci, PDA, pad permainan, joystik, pengimbas, pencetak dan banyak lagi. Kini, ia telah menjadi teknologi lazim dan ‘wajib ada’ pada setiap peralatan atau peranti IT termasuk peranti wayarles yang tidak memerlukan sambungan pada komputer seperti pencetak tanpa rangkaian atau pencetak multi-fungsi.

Selain itu, di awal kemuculan USB iaitu sekitar tahun 1995 hingga 1996, USB 1.0 yang ditawarkan kepada pengguna adalah pada kadar kelajuan hanya 1.5Mbit sesaat (kelajuan-rendah) dan 12Mbit sesaat untuk kelajuan tinggi. Kemudian muncul pula USB 2.0 pada April 2000 yang memperkenalkan kelajuan 480Mbit sesaat (kelajuan tinggi) untuk pemindahan data. Ia merupakan teknologi yang banyak kita gunakan masa kini.

Jika anda rasakan penyambungan USB 2.0 atau contoh mudah pemacu flash yang anda gunakan sekarang boleh memindahkan data dengan pantas pada kelajuan 480Mbit sesaat (mudah bukan). Bayangkan bagaimana agaknya keadaaan apabila teknologi USB 3.0 berupaya memindahkan data pada kelajuan bukan satu tetapi sepuluh kali ganda berbanding spesifikai USB yang anda gunakan sekarang. Tentu mengagumkan!

Tiada ulasan: